Berperahu datang terima bantuan

TUMPAT: Ada sanggup meredah air di paras lutut dan ada juga datang menaiki perahu akibat banjir termenung, untuk mengambil bantuan makanan disumbangkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), di beberapa kampung di sini, dekat sini.

Kira-kira 150 penduduk menerima agihan makanan disampaikan hari ini meskipun laluan biasa atau kawasan bendang dinaiki air sedalam hampir dua meter.

Penduduk, Zaibah Yunus, 56, berkata, air bergenang setakat 0.7 meter di kawasan rumahnya sejak lima hari lalu akibat hujan lebat dan limpahan Sungai Golok menyebabkan dia terpaksa menggunakan perahu untuk pergerakan harian.

“Saya datang ke sini untuk menerima sumbangan makanan dengan ditemani cucu.

“Setiap tahun begini situasi kami alami kerana mengalami banjir termenung dan saya jangkakan dalam masa beberapa hari lagi limpahan air sungai (Golok) akan datang lagi kerana masih dalam musimnya (tengkujuh),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zaibah adalah antara 150 penerima sumbangan yang diagihkan MAPIM menerusi I-Reach membabitkan beberapa kampung termasuk Kubang Sawa, Kuala Jambu, Derdap dan Bendang Pak Yong.

Pengarah I-Reach, Johan Ariff Ismail, berkata makanan itu meliputi beras, telur, minyak masak dan tepung gandum itu mendapat kerjasama badan bukan kerajaan, Prihatin dan Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang (Insaniah) kepada penduduk terjejas banjir.

“Fasa pertama banjir di Kelantan, kami sudah mengagih kepada 700 penerima. Sasaran adalah 1,000 orang.

“Sebelum ini kami sudah mengagihkan kepada penduduk di Kampung Lanchang serta Tersang di Rantau Panjang dan selepas ini akan diteruskan ke lokasi lain,” katanya.

Penduduk, Mokhtar Mat Yusof, 53, berkata kebanyakan penduduk di beberapa kampung berhampiran Sungai Golok di Pengkalan Kubor, ada bot atau perahu untuk kegunaan ketika banjir.

“Masalah kami di sini adalah hujan dan limpahan air dari Sungai Golok menyebabkan kejadian banjir termenung akibat tiada saliran keluar. 

“Masalah ini dialami sejak sekian lama dan menyukarkan rutin harian jika berlaku banjir termenung dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Dipetik dari Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/761905/berperahu-datang-terima-bantuan