Kem Penempatan Kelas ‘A’

Kuala Lumpur: “Sangkaan saya bahawa kem ini sama dengan puluhan kem penempatan yang pernah dilawati di serata dunia yang serba daif, jauh meleset.

“Semua bayangan saya mengenai khemah lusuh, tangki sanitasi daif serta persekitaran yang menyakitkan hati dan mata ternyata tidak tepat sama sekali. Sebaliknya ini adalah syurga pelarian,” kata Pengarah iReach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Johan Ariff Ismail.

Aktivis kemanusiaan itu menjadi satu-satunya wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang dibenarkan masuk ke kem penempatan Turki dalam misi bantuan di sempadan Turki – Syria, baru-baru ini.

Katanya, perasaan berdebar mula dirasai ketika diarah meninggalkan kamera dan beg yang dibawa kira-kira empat kilometer selepas garis pemisah sempadan di Kilis, Turki.

“Menghampiri pintu masuk kem, kelihatan pengawal keselamatan lengkap bersenjata menjalankan tugas rutin mereka.

“Ketika saya mula memasuki kem, minda saya mula terbayang bagaimana jika mereka berpaling tadah atau kem ini dirampas pengganas sebagaimana tragedi hitam yang berlaku pada pelarian Palestin di Kem Sabra dan Syatila di Lubnan dulu,” katanya.

Katanya, dia begitu kagum dan teruja sebaik melangkah masuk apabila melihat masjid, sekolah, gudang penyimpanan makanan, pusat latihan kraftangan, taman asuhan kanak-kanak dan klinik kesihatan disediakan di situ.

Menurutnya, fikirannya kosong sejenak menyaksikan kemudahan bertaraf lima bintang bagi sebuah kem penempatan seperti itu kerana sepanjang pengalamannya sebagai aktivis kemanusiaan, itulah kem paling cantik dan tersusun pernah dilihat.

“Seperti sebuah bandar yang cukup segala-galanya, ia juga dilengkapi pusat kaunseling, kedai runcit dan pelbagai lagi yang menjadikan kem itu nampak sempurna sekali.

“Saya tertanya-tanya adakah saya berada di dalam kem ataupun taman perumahan, malah kanak-kanak juga bebas bermain dan melakukan aktiviti sendiri termasuk menghadiri kelas melukis.

“Kalau kem lain, kita dapati suasana sedih dengan keadaan yang cukup daif, di sini nak cari kanak-kanak menangis sebab lapar, memang tak jumpa,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu katanya, pengalaman paling berharga yang diperoleh adalah ketika dapat menerbangkan dron berhampiran bandar Kilis yang begitu mengujakan kerana berdepan risiko keselamatan.

“Ia pengalaman berharga dan memberi semangat kepada saya untuk meneruskan khidmat bakti kepada yang memerlukan. Banyak lagi yang boleh diusahakan dan saya berharap rakyat Malaysia bersama-sama menyokong usaha ini,” katanya.